KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan secara rasmi mengeluarkan permohonan cadangan (RFP) untuk membida pembangunan Bandar Malaysia kepada syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa yang berminat terlibat sebagai pemaju induk projek tersebut.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah berkata, MoF telah menerima respon positif terhadap RFP projek Bandar Malaysia berkenaan.
Menurut penganalisis, syarikat yang dijangka membida projek Bandar Malaysia adalah syarikat dari China, Taiwan, Jepun dan Korea Selatan.
Beliau yang juga Pengerusi TRX City Sdn. Bhd. dan Bandar Malaysia Sdn. Bhd. memberitahu, antara kriteria termasuk syarikat Fortune 500 dan mampu menjana perolehan tidak kurang RM50 bilion secara kumulatif tiga tahun berturut-turut.
“MoF sedang menunggu syarikat yang berminat untuk mengambil RFP dan kami sudah menerima pelbagai pertanyaan mengenai projek ini sebelum permohonan dibuka.
“Pemaju induk yang dicari tidak semestinya syarikat asing malah penyertaan daripada syarikat tempatan amat dialu-alukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Serantau Satu Jalur, Satu Laluan (OBOR) di sini. Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan RHB Banking, Datuk Khairussaleh Ramli.
Penawaran tersebut adalah ekoran pembatalan Perjanjian Penjualan Saham (SSA) antara Iskandar Waterfront Holdings Sdn. Bhd. dan China Railway Engineering Corperation (M) Sdn. Bhd. (IWH-CREC) pada 3 Mei lalu.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Irwan berkata, inisiatif OBOR akan memberi situasi menang-menang bagi Malaysia dan China.
Beliau menegaskan, Malaysia mesti mengambil kesempatan itu kerana negara memerlukan dana, dan ia ditawarkan pada kadar yang lebih murah dengan tawaran tempoh pembayaran balik jangka panjang.
“Negara akan mendapat faedah dari segi projek-projek infrastruktur dan ini akan memacu pertumbuhan. Jika kita tidak memulakan projek ini sekarang kos akan terus naik.
“Usaha ini tidak berkaitan dengan isu keselamatan atau kedaulatan sebaliknya melibatkan perniagaan untuk pembangunan negara bagi membolehkan generasi masa depan mengekalkan pertumbuhan ekonomi,” katanya. – BERNAMA

