KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (PAN) mengecam tindakan kerajaan Sarawak menghantar delegasi ke London bagi mencari bahan rujukan berkaitan hak sebenar Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub mendakwa hak Sarawak daripada segi kedaulatan, ekonomi, imigresen, bidang kuasa undang-undang dan sebagainya telah pun termaktub di dalam perjanjian itu.
“Perjanjian itu ditandatangani pada 9 Julai 1963 antara Kerajaan Persekutuan Melayu dan United Kingdom bersama Sarawak. Hampir 55 tahun Sarawak bersama Malaysia, nampaknya Ketua Menteri Sarawak masih jahil berkenaan MA63.
“Adalah sangat naif setelah 56 tahun terbentuknya Malaysia, kerajaan Sarawak tiba-tiba beriya-iya mahu mencari sumber rujukan baru sedangkan Perjanjian Malaysia sudah lama ditandatangani,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Desas-desus bagaimanapun menyebut Salahuddin membantah usaha kerajaan Sarawak itu bagi melindungi bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini bersama pembangkang.
Ia ekoran Mahathir sewaktu menjadi Perdana Menteri selama berpuluh tahun didakwa mengabaikan dan mengenepikan hak rakyat Sarawak.
Mahathir kini menerajui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang menganggotai Pakatan Harapan diketuai parti sekular dan liberal DAP serta turut dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAN.
Mahathir meninggalkan UMNO gara-gara kecewa kepentingan perniagaannya tidak dipenuhi kerajaan Persekutuan dan usaha beliau mengangkat anaknya menjadi Timbalan Presiden UMNO ditolak parti itu. – MYNEWSHUB.CC

