MODEL Australia, Miranda Kerr dilapor sudah menyerahkan barang kemas bernilai AS$8.1 juta (RM35 juta) kepada Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat.
Ini berikutan tuntutan DoJ dalam saman sivil yang difailkan di AS berhubung barang kemas yang diterima Miranda diperolehi daripada ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low yang didakwa konon dibeli dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Jurucakap Miranda berkata model itu menyerahkan barang kemas tersebut kepada ejen kerajaan Jumaat lalu yang disimpan di peti deposit keselamatan di rumahnya di Los Angeles.
“Sejak siasatan bermula, Miranda Kerr bekerjasama sepenuhnya dan berjanji akan menyerahkan hadiah barang kemas itu kepada kerajaan. Beliau akan terus membantu siasatan dengan apa jua cara yang boleh,” kata wakil tersebut memetik laporan media Australia.
Menurut DoJ, Miranda bukan defendan dalam tuntutan saman sivil itu.
Miranda berkahwin dengan pengasas bersama aplikasi Snapchat, Evan Spiegel bulan lalu selepas beberapa tahun berpisah dengan pelakon terkenal Orlando Bloom. – MYNEWSHUB.CC

