KUALA LUMPUR – Ibu bapa perlu mendorong dan membantu anak masing-masing meneroka alam semula jadi dan menyayangi alam sekitar, kata Pengerusi Landskap Malaysia, Tun Jeanne Abdullah.
Beliau berkata ibu bapa juga perlu mendidik anak mereka supaya menghargai dan mencintai alam semula jadi.
“Sewaktu kecil, ibu bapa saya mengajar saya cara untuk menghargai serta mencintai alam semula jadi dan saya rasa saya perlu meneruskannya serta sungguh gembira kerana dapat mendidik orang lain pula,” katanya pada majlis pelancaran buku bergambar bejudul ‘Pusaka Akar’ di Bait Badawi, kediaman beliau bersama Tun Abdullah Ahmad Badawi di Persiaran Mahameru di sini hari ini.
Penerbitan buku mewah setebal 314 muka surat ini diilhamkan Jeanne untuk membuka mata orang ramai tentang kepentingan alam semula jadi dan hutan hujan.
Jeanne berkata ‘Pusaka Akar’ mengandungi gambar menarik tentang keindahan hutan negara ini dan memberi penekanan terhadap usaha, pemikiran serta misi yang dilaksanakan untuk memulihara dan memelihara hutan hujan.
“Selain foto kreatif dan petikan kata-kata tentang alam semula jadi, komen dan rencana tulisan tokoh korporat, pejuang pemuliharaan dan ahli akademik juga menghiasi buku ini.
“Ia juga memuatkan kata-kata hikmat daripada pelbagai budaya, termasuk oleh ahli falsafah, penyair dan aktivis terkenal, tetapi bahagian buku ini yang paling saya suka ialah petikan kata-kata Prince of Wales (Putera Charles), ketika beliau berucap di Pusat Islam, University Oxford, London pada 2011,” katanya.
Tempahan untuk buku berharga RM500 senaskhah ini boleh dibuat melalui laman sesawang Landskap Malaysia www.landskapmalaysia.org.
Landskap Malaysia adalah sebuah badan bukan mencari keuntungan yang ditubuhkan dengan tujuan utama untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang keperluan melindungi hutan semula jadi dan melaksanakan program pemuliharaan dan pemulihan hutan melalui program pendidikan untuk pelajar dan masyarakat. – BERNAMA