Suspek insiden tebusan di Sydney, Australia dikenali sebagai Man Haron Monis yang terbunuh selepas 16 jam insiden berkenaan, merupakan bekas penganut Syiah.
Tinjauan Mynewshub menemukan beberapa rekod berkenaan latar belakang suspek yang menahan lebih 10 orang awam sebagai tebusan di Kafe Lindt Chocolate, di bandar itu, semalam.
Man Haron dilahirkan di Iran dan tiba di Australia pada 1996.
MENARIK – Tebusan Sydney : 3 Terbunuh Termasuk Suspek
Menggelarkan dirinya sebagai Sheikh, Man Haron pernah didakwa atas beberapa kesalahan undang-undang termasuk menghantar surat menghina kepada keluarga anggota tentera yang pernah berkhidmat di Afghanistan.
Laporan media Australia memaparkan rekod gambar suspek ketika diikat jamin atas satu pendakwaan yang mengaitkannya dengan pembunuhan bekas isteri, selain melakukan serangan seksual.
Man Haron juga memiliki satu laman web yang menyiarkan gambarnya memegang gambar kanak-kanak Arab yang terbunuh dengan kata-kata, “Ini bukti keganasan dilakukan Amerika Syarikat dan sekutunya termasuk Australia, kesan dari serangan udara mereka.”
Suspek turut mendakwa, anaknya telah dilarikan kerajaan Australia dan dia tidak dibenarkan berhubung dengan mereka.
Laporan media asing mengatakan, Man Haron memiliki pengetahuan dalam bidang ilmu bintang, matematik dan meditasi, selain mempunyai kepakaran dalam ilmu hitam.
Dalam insiden tebusan di sebuah kafe di Sydney semalam, Man Haron dan dua orang awam yang jadi tebusannya maut selepas polis Australia menyerbu masuk untuk menamatkan drama cemas yang berlarutan selama 16 jam.
Polis berpakaian pasukan SWAT membaling bom tangan dan melepaskan tembakan ke arah tempat kejadian, mengakibatkan bunyi bising dan percikan api di kafe yang terletak di tengah bandar terbesar di Australia itu, selepas sejumlah kakitangan dan pelanggan berjaya melarikan diri.
Pesuruhjaya Polis New South Wales, Andrew Scipione berkata, polis bertindak selepas berbalas tembakan dengan suspek berusia 50 tahun itu dan berjaya membunuhnya.
– MYNEWSHUB.CC
Oleh : IBNU KÂÂ

