PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak mengesahkan Tan Sri Ismee Ismail akan dilantik sebagai pengerusi baharu Media Prima Bhd.
Salleh, yang juga Bendahari UMNO, berkata demikian kepada Bernama ketika diminta mengulas spekulasi mengenai perubahan yang akan berlaku dalam pucuk pimpinan Media Prima.
Ia berikutan pelantikan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH) itu baru-baru ini sebagai ahli lembaga bebas syarikat tersebut, sebuah kumpulan media paling besar di Malaysia.
Semasa di bawah pengurusan beliau dari 2006 hingga 2016, TH adalah sebuah syarikat berkaitan kerajaan yang mencatatkan keuntungan melebihi RM1 bilion sejak lima tahun berturut-turut.
Selain itu, badan tersebut turut menguruskan hampir sejuta akaun jemaah haji, akaun pendeposit yang mencecah 7.8 juta orang serta cemerlang mengurus dana TH berjumlah lebih RM34 bilion.
Ismee kemudian dilantik sebagai Pengerusi AlHijrah Media Corp. yang mengendalikan stesen penyiaran TV AlHijrah bagi menggantikan Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor pada tahun lalu.
Media Prima adalah sebuah kumpulan pelaburan media bersepadu terkemuka yang mempunyai kepentingan ekuiti di stesen televisyen, akhbar, stesen radio, penciptaan kandungan dan media digital.
Stesen televisyen di mana syarikat itu mempunyai kepentingan termasuk TV3, 8TV, ntv7 dan TV9. Ia turut memiliki stesen radio popular iaitu Hot FM, Kool FM, One FM dan Fly FM.
Media Prima memiliki 98 peratus kepentingan ekuiti dalam The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd yang menerbitkan New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro. – BERNAMA