KUALA LUMPUR – Gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi menyasarkan untuk mempertahankan dua pingat emas yang dimenanginya pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang dijadualkan berlangsung dari 19-30 Ogos ini.
Pemenang emas acara senaman lantai dan berpasukan pada edisi 2015 di Singapura itu berkata kelebihan beraksi di laman sendiri seharusnya digunakan sebaik mungkin oleh skuad negara untuk meraih keputusan positif pada temasya sukan dwitahunan itu.
Bagi persiapan menghadapi Sukan SEA kali ini, Farah Ann berkata skuad negara akan menyertai latihan intensif selama 10 hari di Australia bermula 11 Jun ini sebelum kembali ke tanah air untuk menyambung latihan.
“Saya menang enam pingat keseluruhan termasuk dua emas pada edisi lepas dan memandangkan kita beraksi di laman sendiri, sudah tentulah saya mahu mengharumkan nama negara dengan memenangi pingat emas sebanyak mungkin,” katanya kepada Bernama.
Farah Ann berkata sasaran utama skuad negara ketika ini adalah mempertahankan pingat emas dalam acara berpasukan yang dimenangi pada 2015, namun mengakui mereka perlu memperbaiki beberapa kelemahan dalam rutin masing-masing sekiranya bertekad mencapai sasaran tersebut.
Dalam perkembangan sama, Farah Ann berharap fasiliti gimnastik di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini, dapat disiapkan secepat mungkin bagi membolehkan skuad negara mencuba peralatan di sana sebelum aksi Sukan SEA nanti.
Acara gimnastik (gimnastik artistik dan gimnastik berirama) pada temasya berkenaan dijadualkan berlangsung dari 20-28 Ogos ini.
Sebanyak 20 pingat emas ditawarkan dengan 12 pingat dalam acara gimnastik artistik manakala selebihnya dalam acara gimnastik berirama.
Pencapaian terbaik Malaysia adalah ketika menjadi tuan rumah Sukan SEA 2001 yang menyaksikan atlet kebangsaan meraih 16 daripada 20 emas yang ditawarkan. – BERNAMA