KUALA LUMPUR – Pemain hoki kebangsaan, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan mahu memastikan pencapaiannya dalam bidang sukan dan pelajaran adalah seiring biarpun kini sedang mengejar impian menjadi seorang atlet yang berjaya.
Syed Mohamad Syafiq, yang kini giat membuat persiapan bersama skuad kebangsaan bagi menghadapi saingan Pusingan Separuh Akhir Liga Hoki Lelaki Dunia (MHWL) di London bermula 15-25 Jun depan, berkata beliau perlu bijak mengatur masa dan menyusun jadual antara latihan dan pelajaran.
“Sebagai seorang atlet dan juga pelajar, saya perlu pandai mengimbang waktu belajar dan latihan. Saya sering berjumpa pensyarah untuk bertanyakan apa yang perlu saya buat jika terlepas kelas.
“Ibu bapa saya pun selalu berpesan ilmu adalah berguna dan pelajaran itu sangat penting. Walaupun kita seorang atlet yang berjaya, ilmu tetap perlu diutamakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Anugerah Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM) edisi ke-33, semalam, yang turut menyaksikan beliau dipilih sebagai penerima Anugerah Bintang Harapan Lelaki.
Pada majlis itu, penembak elit negara, Johnathan Wong Guanjie dan pemanah wanita kebangsaan, Saritha Cham Nong masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati manakala ratu pecut, Zaidatul Husniah Zulkifli menerima Anugerah Bintang Harapan Wanita.
Syed Mohamad Syafiq berkata beliau perlu bekerja keras untuk terus meningkatkan prestasinya bagi merebut tempat dalam senarai skuad utama seterusnya membantu pasukan negara meraih kejayaan melayakkan diri ke Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India.
“Kami ada dua misi utama tahun ini iaitu layak ke Piala Dunia 2018 dan juga mengekalkan pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur.
“Sebagai seorang pemain, saya perlu terus bekerja keras untuk buktikan yang saya layak berada dalam senarai 18 pemain terakhir ke Sukan SEA,” kata mahasiswa tahun kedua jurusan Pembangunan Manusia di UPM itu. – BERNAMA
