IPOH – Pasukan negara, Malaysia mengukuhkan cengkaman teratas dalam carta Kejohanan Ragbi Asia (ARC) Divisyen 1 selepas mengalahkan Filipina 40-8 pada perlawanan kedua di sini hari ini.
Biarpun tanpa kelibat tiga tonggak utama dalam perlawanan hari ini akibat kecederaan serius, skuad kendalian Lee Yuk Fah tidak menjadikan itu alasan untuk membenarkan Filipina mencipta kemenangan pertama di kejohanan ini.
Aksi cemerlang pasukan negara dapat dilihat seawal permainan dimulakan apabila pasukan yang diketuai oleh Syahir Asraf Rosli itu berjaya membuat empat ‘try’ dan satu ‘conversion’ di separuh masa pertama untuk kedudukan 20-3.
Walaupun jentera serangan Filipina cuba untuk merapatkan kedudukan di separuh masa kedua, namun setiap serangan yang dilakukan pasukan itu berjaya dipatahkan oleh barisan pertahanan skuad negara.
Hasil semangat dan disiplin yang tinggi sehingga tamat perlawanan, Malaysia berjaya membuat enam ‘try’, dua ‘conversion’ dan satu penalti untuk mendapat 40 mata.
Terdahulu, Lee ketika ditemui pemberita sebelum perlawanan menyifatkan aksi tersebut sebagai penebus kekalahan tahun lalu di Kuala Lumpur.
“Kamu mahukan kemenangan dan kemenangan ini sebagai penebus kekalahan tahun lalu pada kejohanan sama, bagi saya setiap perlawanan seperti perlawanan akhir.
“Oleh itu saya mahukan setiap pemain sentiasa fokus untuk memenangi setiap perlawanan,” katanya.
Terdahulu, Sri Lanka mengalahkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 33-17 hasil dari empat try, dua conversion dan tiga penalti.
Pada perlawanan ketiga Sabtu ini, Malaysia yang juga juara bertahan akan bertemu Sri Lanka manakala UAE akan melawan Filipina. – BERNAMA