HULU SELANGOR – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menahan enam lori serta dua bas selepas didapati dipandu melebihi had laju ditetapkan dalam Op Serkap, yang dijalankan KM410 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Lembah Beringin di sini, petang ini.
Operasi bersepadu berkenaan membabitkan 30 pegawai dan anggota penguat kuasa SPAD dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula 3.30 petang dan berakhir kira-kira dua jam kemudian.
Ketua Bahagian Penguatkuasaan SPAD Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata operasi berkenaan dilakukan bagi mengesan pemandu yang melanggar undang-undang ditetapkan.
“Sebuah bas yang ditahan telah memandu hingga 115 kilometer sejam dengan membawa 40 penumpang. Tindakan mereka ini bukan sahaja menyalahi undang-undang bahkan ia turut membahayakan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya ketika ditemui selepas operasi itu.
Dalam operasi itu, PDRM turut mengeluarkan 22 saman kepada kenderaan persendirian atas kesalahan sama.
Che Hasni berkata pihaknya akan mengadakan lebih banyak operasi dari semasa ke semasa bagi memastikan peraturan jalan raya sentiasa dipatuhi oleh pemandu bas dan kenderaan berat. – BERNAMA