SAMBUTAN Hari Guru di Sekolah Kebangsaan Othman Talib 1, Tendong, Pasir Mas, Kelantan hari ini bertukar tragedi apabila seorang guru perempuan tiba-tiba rebah.
Insiden menyayat hati itu berlaku ketika sekumpulan guru terbabit sedang melakukan persembahan dikir barat di hadapan murid mereka pada tengah hari Selasa.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, Nai Zura Mahamad, 42, dipercayai mengalami serangan jantung dan rebah di atas kerusi selepas membuat persembahan bersama guru-guru lain.

Guru yang mengajar subjek Bahasa Melayu itu dibawa menaiki sebuah ambulans ke Klinik Kesihatan Tendong dan disahkan meninggal dunia.
Media tempatan melaporkan, guru yang telah berkhidmat selama 17 tahun di sekolah tersebut kelihatan lesu sebelum persembahan dan dinasihatkan untuk berehat.
Namun, guru yang disifatkan berdedikasi dan baik itu enggan pulang ke rumah sebaliknya meneruskan persembahan penutup bersama murid kelasnya sebelum rebah.

Jenazah mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu untuk proses bedah siasat.
Allahyarham yang berasal dari Kampung Alor Durian, Pasir Mas ini mempunyai empat orang anak dan ada rekod masalah jantung.
Difahamkan, jenazah dikebumikan selepas solat asar di Tanah Perkuburan Islam Kampung Perangkap, Pasir Mas. – MYNEWSHUB.CC
*Video di bawah sekadar hiasan…

