KEPALA BATAS – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan terhadap pembeli rokok tidak sah, jika ketirisan hasil berada pada tahap kritikal, kata Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Matrang Suhaili.
Bagaimanapun, beliau berkata aktiviti penyeludupan rokok di negara ini masih belum sampai ke tahap itu.
“Setakat ini kita belum pergi kepada pembeli, tetapi sekiranya keadaan seperti ketirisan hasil ini begitu kritikal di pihak kerajaan, kita akan mengambil tindakan seperti mana yang dilakukan oleh negara jiran ke atas pembeli rokok.
“Tapi kita belum sampai ke tahap itu (mengambil tindakan terhadap pembeli rokok) lagi,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Program Khidmat Masyarakat oleh Anggota Parlimen Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, anjuran JKDM Pulau Pinang, di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya komited menangani masalah penyeludupan rokok dengan sentiasa mengambil tindakan yang serius serta agresif terhadap aktiviti haram berkenaan.
Matrang berkata operasi bersepadu bersama beberapa agensi penguatkuasa menerusi Ops Pacak yang dilancarkan sejak Ogos lalu berjaya meningkatkan hasil penjualan rokok kepada 38 peratus.
“Selepas Ops Pacak dilancarkan di Tawau, Sabah dan Bintulu, Sarawak pada tahun ini, Ops Pacak akan diteruskan pada tahun hadapan di Johor Bahru dan Pulau Pinang serta beberapa lokasi lain.
“Fokus utama kita adalah kawasan bandar yang menyaksikan penjualan rokok seludup yang tinggi. Melalui ops ini, setiap agensi terlibat akan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang ada,” tambahnya.
Ditanya sama ada aktiviti penyeludupan rokok meyumbang kepada jenayah lain, Matrang berkata: “Saya tidak dapat kaitkan aktiviti penyeludupan rokok dengan jenayah lain. Namun, adalah dipercayai duit yang diperoleh boleh digunakan untuk membiayai jenayah lain”. – BERNAMA

