KUALA LUMPUR – Lebih 10,000 golongan belia terlibat dalam program sukarelawan ‘Volunteer For Kuala Lumpur’ (V4KL) sejak dianjurkan pada Januari tahun ini, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Tengku Adnan berkata program yang bertujuan membersih dan mengindahkan ibu kota itu melibatkan 34 lokasi tumpuan awam melalui aktiviti gotong-royong seperti melukis mural dan mengecat pembahagi jalan.
“Tema V4KL dipilih bersesuaian dengan tujuan menanam semangat kesukarelawan dan kebersamaan membantu kerajaan dan pihak berkuasa tempatan dalam memelihara keindahan Kuala Lumpur sebagai tanggungjawab bersama,” katanya ketika merasmikan program V4KL Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini.
Katanya penganjuran itu juga adalah inisiatif dalam meningkatkan imej ibu negara bersempena Kuala Lumpur menjadi tuan rumah Sukan SEA ke-29 dari 19 sehingga 30 Ogos ini.
“Kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur akan menjadi tumpuan lawatan para atlet dan penyokong negara-negara bertanding di Sukan SEA untuk membeli-belah di samping menjadi lokasi penginapan ketika pertandingan,” katanya.
Beliau berkata pelaksanaan V4KL dapat menjimatkan kos penyelenggaraan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur secara puratanya sehingga 50 peratus selain bakal diperluaskan ke 33 Projek Perumahan Rakyat dan 37 Perumahan Awam. – BERNAMA