KUALA TERENGGANU – Seorang pemuda ditemukan lemas ketika mandi bersama dua lagi rakannya di kawasan air terjun Belukar Bukit, Kuala Berang, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, DSP Mohd Adli Mat Daud berkata mayat Mohd Hakimifirdhaus Abdul Raki, 21, ditemukan tidak jauh dari lokasi mangsa dilaporkan hilang kira-kira 3.40 petang tadi.
Katanya mangsa bersama rakannya berkunjung ke tempat perkelahan tersebut kira-kira 12.30 tengah hari dan sehingga 3 petang, mangsa masih mandi seorang diri.
“Rakannya yang lain berhenti berehat, tidak lama selepas itu mangsa menjerit meminta tolong kerana mengalami kekejangan otot sebelum tenggelam. Rakan-rakan mangsa cuba membantu dan memberi bantuan namun gagal sebelum menghubungi pihak polis,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.
Beliau berkata mayat mangsa yang beralamat di kampung Banggol, Marang dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat.
Operasi mencari dan menyelamat itu membabitkan tujuh anggota bomba bersama sebuah jentera dan mayat ditemukan selepas anggota bomba melakukan selaman. – BERNAMA

