ANKARA – Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan, merancang untuk mengadakan perbincangan dengan pemimpin Rusia Vladimir Putin mengenai operasi ketenteraan pada masa depan, lapor agensi berita Rusia TASS.
“Pada 16 Mei, saya akan ke Amerika Syarikat (AS) dan pada 3 Mei pula akan bertemu dengan Putin untuk membincangkan operasi di Raqqa dan Manbij.
“Selepas perbincangan dengan Putin dan (Presiden AS Donald Trump) , saya berharap era baharu dalam menyelesaikan konflik di Syria dan Iraq akan bermula, ” kata Erdogan di ibu pejabat pemerintah Keadilan dan Pembangunan Parti.
Menurutnya, antara isu lain yang akan dibincangkan ialah mengenai langkah menangani isu Parti Pekerja Kurdistan, Pertubuhan Fethullah Gulen (FETO) dan Islamic State (kumpulan pengganas yang diharamkan di Rusia).
Pada 3 Mei, Erdogan akan bertemu dengan Putin di bandar raya peranginan Laut Hitam Sochi, isu Syria menjadi antara topik utama perbincangan.
Sementara itu, pada 16 hingga 17 Mei pula, Erdogan akan ke AS untuk mengadakan perbincangan dengan Trump.
Perbincangan dijangka merangkumi tindakan bersama AS dan Turki di Syria serta prospek operasi di Raqqa dan Manbij. – BERNAMA

