KUALA LUMPUR- Sebanyak 1,006 unit mesin judi bernilai RM3.01 juta yang dirampas dalam Op Dadu sepanjang tahun lepas, dilupuskan di kawasan Ibu Pejabat Polis Hulu Kelang hari ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Hamzah Alias berkata kesemua mesin judi berkomputer itu merupakan rampasan daripada 126 serbuan operasi berkenaan yang bertujuan membanteras aktiviti perjudian dalam daerah Ampang Jaya.
“Hasil daripada serbuan dan tangkapan, kesemua kes ini telah dihadapkan ke mahkamah dan kesemua rampasan ke atas barang kes telah mendapat arahan pelupusan daripada pihak mahkamah pada 20 April 2017,” katanya.
Menurut Hamzah, susulan operasi itu, sejumlah 134 individu turut ditahan. – BERNAMA