TUARAN – Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun Murut Sabah (Pekadin) hari ini membuat laporan polis berhubung kewujudan ‘kebarangkalian projek Kad Pengenalan (IC)’ berdasarkan hasil siasatan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin di Sabah.
Naib Presiden Pekadin, Luis Lidong bersama-sama Penolong Setiausaha Labidah Ewit dan anggota Jawatankuasa Pekadin Dianah Ahning membuat laporan itu di Balai Polis Tuaran pada 10 pagi ini.
Luis berkata Pekadin tidak mahu isu itu tergantung begitu sahaja tanpa tindakan susulan untuk menyiasat kes tersebut secara menyeluruh.
“Jika benar Projek IC ini wujud maka perbuatan itu merupakan pengkhianatan kepada penduduk asal Sabah.
“Oleh itu, Pekadin mahu pihak polis melakukan siasatan terperinci dan holistik bagi melenyapkan prasangka yang bermain dalam fikiran penduduk asal termasuk masyarakat Kadazandusun Murut,” katanya dalam kenyataan di sini, Selasa.
Laporan RCI diumumkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa pada Rabu lepas, membuat kesimpulan terdapat kebarangkalian ‘Projek IC’ itu wujud, tetapi hanya berdasarkan lima saksi yang bukan sahaja tidak tertakluk kepada pemeriksaan balas, malah merupakan bekas pegawai dan kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 berkaitan penglibatan mereka dalam pengeluaran IC secara haram.
Semalam, Parti Bersatu Sabah (PBS) membuat laporan polis berhubung perkara sama di Ibu pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu. – BERNAMA