UNTUNG badan jadi anak kepada selebriti berpengaruh antarabangsa yang mahsyur dan kaya-raya.
Harper Seven Beckham, iaitu anak perempuan tunggal kepada pasangan bintang pop dan mogul fesyen Victoria dan bintang bola sepak David Beckham baru berusia lima tahun namun namanya sudah didaftarkan sebagai harta intelek!
Menurut rekod daripada pejabat harta intelek, Victoria telah mendaftarkan nama kanak-kanak itu untuk digunakan sebagai jenama bagi pelbagai produk termasuk alat solek, permainan dan pakaian.
Bahkan, nama Harper Beckham juga turut didaftarkan untuk digunakan dalam industri hiburan, jika Harper mengambil keputusan untuk menjadi bintang pop seperti ibunya.

Selain Harper, Victoria turut mendaftarkan nama ketiga-tiga anak lelakinya iaitu Brooklyn, 18, Romeo, 14, dan Cruz, 12, di dalam Pejabat Harta Intelek di United Kingdom (UK) dan Kesatuan Eropah (EU).
Ini bermakna, anak-anak Victoria dan David secara rasminya menjadi sebahagian daripada ‘Jenama Beckham’ – David telah mendaftarkan namanya pada tahun 2000 manakala Victoria menjadikan namanya satu jenama rasmi pada tahun 2002.
Sementara itu, pakar dalam hal-ehwal harta intelek UK menyifatkan langkah mendaftarkan nama mereka sekeluarga sebagai hak cipta yang terpelihara merupakan satu langkah perniagaan dan perlindungan yang bijak.
“Ini kali pertama dalam sejarah nama seorang kanak-kanak berusia lima tahun didaftarkan sebagai hak cipta yang terpelihara.
Selalunya langkah tersebut dilakukan apabila seseorang dalam satu tahap di dalam karier mereka di mana mereka perlu melindungi nama mereka daripada disalah gunakan; tetapi untuk kanak-kanak semuda ini, inilah julung kalinya,” kata Oliver Bray, yang merupakan seorang peguam di firma guaman antarabangsa RPC.
“Apa yang Victoria cuba lakukan adalah untuk melindungi nama anak-anaknya daripada dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mengaut keuntungan di masa hadapan.
“Selain itu, dengan mendapatkan hak perlindungan terhadap nama anda, anda juga mampu mengawal imej dan representasi mengikut kemahuan sendiri tanpa perlu ditentukan oleh mana-mana pihak,” tambah Oliver lagi.
Bijak juga keluarga Beckham ini, jika dilihat dari sudut bagaimana mereka melindungi harta bernilai £500 juta (RM 2.8 bilion) mereka itu.
Malah, anak-anak mereka juga boleh mengembangkan kemewahan dinasti mereka kerana telah dibenarkan untuk mengkapitalisasikan jenama keluarga mereka di masa akan datang. – MYNEWSHUB.CC