KUALA LUMPUR – Putera Mahkota Jepun, Putera Naruhito akan memulakan lawatan rasmi lima hari ke Malaysia bermula esok, bertujuan untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Menurut pegawai Kedutaan Jepun di sini, lawatan tersebut ialah atas undangan kerajaan Malaysia.
Ini merupakan lawatan sulung Putera Naruhito ke negara ini. Baginda ialah putera sulung Maharaja Akihito
Beliau berkata lawatan itu merupakan peluang yang baik untuk memupuk persefahaman bersama serta persahabatan dan muhibah antara kedua-dua negara yang menjalin hubungan 60 tahun lalu.
“Lawatan ini pasti akan meningkatkan dan mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua negara dalam semua aspek, terutama mengekalkan hubungan baik yang dibina atas asas sejarah,” katanya pada sidang media di Kedutaan Jepun di sini hari ini.
Semasa lawatan, Putera Naruhito dijadual menghadiri majlis jamuan negara yang berkenan dihoskan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dan akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Putera Mahkota itu juga dijangka melawat Tugu Negara, Muzium Negara dan Universiti Malaya.
Kuala Lumpur meraih manfaat hasil hubungan yang amat mesra dengan Tokyo dalam pelbagai sektor termasuk pendidikan apabila kira-kira 16,000 pelajar Malaysia telah mendapat faedah daripada pengajian di “Negara Matahari Terbit” itu.
Mereka juga dihantar ke sana terutama untuk mempelajari mengenai etika kerja masyarakat Jepun. – BERNAMA