SANDAKAN – Konsep Trak Ikan Bergerak dilancarkan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini hari ini bagi membolehkan ikan dijual dengan harga rendah.
LKIM Wilayah II Sandakan dengan kerjasama Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sandakan, pertama kali melaksanakan konsep itu di negara ini yang bertemakan ‘Dari Nelayan Terus Ke Dapur’.
Pengerusi LKIM, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata menerusi konsep itu, ia tidak melibatkan orang tengah iaitu hasil tangkapan nelayan dijual terus kepada pengguna dengah harga rendah.
Katanya, PNK Sandakan yang mengendalikan trak itu akan membeli ikan terus dari nelayan dari sekitar daerah ini dan menjual terus kepada pengguna antaranya di kawasan taman perumahan, pekarangan jabatan kerajaan dan pasar tamu.
“Konsep ini akan diperluaskan di seluruh negara sebagai salah satu transformasi nelayan di peringkat akar umbi dalam aktiviti sosioekonomi bagi menambah pendapatan.
“Ia juga pendekatan baik bagi menggerakkan keusahawanan kalangan generasi muda dalam keluarga nelayan,” katanya ketika menyampaikan bantuan elaun sara hidup nelayan dan melancarkan Trak Ikan Mobile di sini.
Mengenai penyampaian elaun sara hidup nelayan itu, Irmohizam, yang juga Anggota Parlimen Kuala Selangor, berkata seramai 895 nelayan dari empat kawasan Parlimen iaitu Sandakan, Batu Sapi, Libaran dan Kinabatangan menerima elaun itu.
Katanya, kerajaan memperuntukkan RM250,000 setiap bulan dan RM3 juta setahun untuk elaun sara hidup nelayan di empat kawasan tersebut. – BERNAMA