JAKARTA – Polis Indonesia berjaya menembak mati enam suspek anggota militan Daesh dalam satu kejadian tembak menembak di wilayah Jawa Timur semalam, kata seorang jurucakap polis hari ini.
Menurut jurucakap polis wilayah tersebut, Frans Barung Mangera, insiden bermula apabila sekumpulan tujuh lelaki memandu kenderaan ke sebuah balai polis pada Sabtu dan terus melepaskan tembakan rambang ke arah petugas.
Tiada orang cedera di balai tersebut tetapi susulan serangan itu, pihak polis bergegas mengejar mereka yang menaiki kereta sebelum suspek meninggalkan kenderaan di sebuah desa di Tuban, tidak jauh dari bandar Surabaya.
Media tempatan melaporkan, kumpulan militan itu kemudian cuba melarikan diri ke sebuah kawasan pertanian berhampiran selepas dikejar pihak polis kira-kira jam 5 petang waktu Indonesia Barat (6 petang waktu Malaysia).
“Apabila polis memeriksa kawasan itu, satu das tembakan kedengaran. Kemudian, kejadian berbalas tembakan pula berlaku. Enam daripada kumpulan lelaki itu ditembak mati,” kata jurucakap polis kebangsaan Indonesia, Rikwanto.
Seorang lagi anggota kumpulan itu yang masih hidup berjaya dicekup. Polis Indonesia mendakwa penyerang itu adalah sebahagian daripada anggota rangkaian Jamaah Ansharut Daulah (JAD) yang ada kaitan dengan Daesh.
Sebuah peti mengandungi sejumlah peluru 9mm ditemui di dalam kenderaan itu. Polis percaya ia sebagai balas dendam kerana Jumaat sebelumnya, tiga suspek JAD ditahan dengan senjata M16 yang diseludup dari Filipina.
Kumpulan pengganas tempatan berkenaan didakwa sebagai bertanggungjawab bagi siri serangan nekad di sekitar Indonesia baru-baru ini termasuk satu serangan di Jakarta pada Januari lalu. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

