WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata, pertemuan buat kali pertama dengan rakan sejawatannya dari China Xi Jinping di Mar-a-Lago, Florida bakal melakar satu “hubungan amat bermakna”, lapor agensi berita Press Trust of India (PTI).
“Ia satu penghormatan besar untuk menerima kunjungan Presiden China bersama dengan isteri beliau dan ia juga satu penghormatan menerima kedatanagn mereka di AS,” kata Trump kepada pemberita dalam satu taklimat media ringkas.
Pada pertemuan itu, kedua-dua pemimpin kelihatan ceria dan berjabat tangan.
“Kami telah mengadakan perbincangan yang lama. Tiada apa yang diperolehi setakat ini. Tetapi kami telah mengukuhkan jalinan persahabatan. Saya fikir untuk tempoh jangka panjang kami akan mempunyai hubungan sangat hebat dan saya amat menungu-nunggu detik itu,” kata Trump.
Kedua-dua pemimpin kelihatan memakai sut, Trump mengenakan sut gelap dengan bertali leher merah manakala Xi memakai sut berwarna biru.
Ia merupakan pertemuan pertama membabitkan kedua-dua pemimpin selepas pilihan raya AS. – BERNAMA

