PUTRAJAYA – Penawaran lima peratus tempat bagi kursus perubatan, pergigian dan farmasi bagi pelajar asing di universiti awam (UA) di negara ini akan menjadikan sistem pendidikan tinggi di negara ini lebih kompetitif, dinamik dan berkualti.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata keputusan itu adalah relevan selaras dengan hasrat kerajaan untuk meliberalisasikan pendidikan di institusi pengajian tinggi awam.
Sambil menyambut baik pengumuman tersebut semalam oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa lawatan rasminya ke India, katanya, tiga bidang yang ditawarkan oleh universiti awam adalah bertaraf antarabangsa.
“Saya yakin langkah ini akan menyumbang kepada Malaysia dalam misi menjadi Hab Pendidikan Tinggi Serantau,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Najib berkata tawaran itu dibuka kepada pelajar asing mulai pengambilan pada September tahun ini dengan yuran dikenakan mengikut harga pasaran dan tidak seperti pelajar tempatan yang menerima subsidi. – BERNAMA