WALAUPUN tidak selalu berjumpa seperti pasangan lain, namun aktres Ummi Nazeera dan tunangnya, Dr. Izzar tidak berasa ralat kerana stuasi membuatkan mereka jarang bergaduh.
Menurut Ummi, 27, percintaan jarak jauh mereka menjadikan mereka mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat.
“Tak tahulah tentang pasangan lain, tetapi oleh kerana kami tidak kerap mempunyai masa bersama, kami tak habiskan masa untuk bergaduh,” katanya.
Ummi atau Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin mengikat tali pertunangan dengan Dr. Izzar, 30, pada 11 Disember tahun lalu selepas diperkenalkan oleh keluarga masing-masing.
Pasangan ini bakal berkahwin selepas sambutan Aidilfitri ini.

Tambah Ummi lagi, dia dan tunang tidak pernah berhubungan melalui panggilan video seperti FaceTime walaupun berjauhan.
Tunang Ummi berkhidmat di sebuah hospital swasta di Sarawak.
“Kami berhubung setiap hari, tapi bukan menerusi aplikasi FaceTime. Jadi banyak perkara yang saya nanti-nantikan pada masa depan.”
Ummi turut mendedahkan bahawa sikap bakal suaminya yang penyabar menjadi penyebab hatinya terbuka untuk berkahwin dengan lelaki itu.
Tambah Ummi, dia telah banyak kali sengaja menguji lelaki itu dan setiap kali bakal tunangnya itu menunjukkan reaksi matang.
“Saya pernah katakan kepadanya, patutlah dia bergelar doktor; sikapnya sangat penyabar.” – MYNEWSHUB.CC
