AKTOR Russell Brand mendedahkan punca perceraiannya dengan penyanyi Katy Perry adalah kerana jadual kerja yang padat dan masing-masing sibuk mengejar kemasyhuran atau populariti.
Brand dan Perry mengikat tali perkahwinan pada 2010 setelah bertemu dalam Anugerah Video Muzik MTV namun memutuskan untuk berpisah selepas dua tahun bersama.
Terdahulu sumber memberitahu dua selebriti ini berpisah kerana jadual kerja padat, sementara ada pihak dakwa kemusnahan rumah tangga mereka berpunca daripada ketidak sehaluan pendapat dalam membina sebuah keluarga.
Namun segalanya kini terjawab setelah Brand mendedahkan punca kepada keretakan rumah tangganya itu ketika menghadiri program temubual ‘In Conversation With John Bishop’.

“Perry seorang yang kerja keras dan sangat sibuk begitu juga saya, kami tidak sependapat.
“Perkahwinan itu tidak bertahan lama kerana masing-masing terlalu mengejar populariti, itulah hakikatnya,” kata Brand.
Walau bagaimanapun, Brand tetap menghargai Perry yang pernah hadir dalam hidupnya dan sering terkesan setiap kali melihatnya.
Pun begitu, kini masing masing punya haluan sendiri. Perry hangat digosipkan bercinta dengan beberapa aktor Hollywood seperti John Mayer, Diplo dan baru sahaja putus cinta dengan Orlando Bloom setelah bersama selama 10 bulan.
Manakala Brand pula sudah bertunang dengan Laura Gallacher dan dikurniakan seorang cahaya mata bernama Mabel.
Malah aktor ini menyifatkan kehidupan rumah tangganya bersama Gallacher jauh berbeza sewaktu dia bersama Perry dahulu. – MYNEWSHUB.CC