KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berterima kasih kepada usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta kerajaan membantu kebajikan nelayan-nelayan Malaysia yang diculik.
“Tindakan Perdana Menteri sewajarnya dipuji dan bantuan yang dihulurkan adalah bagi meringankan beban serta trauma yang bukan sahaja dirasai mangsa malah keluarga mereka,” kata Pengerusi LKIM, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim.
Irmohizam berkata selain kerajaan Filipina, penghargaan perlu diberikan kepada Wisma Putra, Polis Diraja Malaysia, Kerajaan Sabah dan Kelab Putra 1Malaysia kerana berjaya menguruskan kepulangan mangsa-mangsa.
Semalam, dua mangsa culik yang diselamatkan Khamis lepas – Abdul Rahim Summas, 62, dan Tayudin Anjut, 46, – tiba di ibu negara.
Tiga lagi mangsa culik iaitu Fandy Bakran, 27, Mohd Jumadil Rahim, 24, dan Mohd Ridzuan Ismail, 33, juga telah diselamatkan dalam satu operasi di perairan Sulu tengah malam semalam oleh pasukan keselamatan Filipina dan dilaporkan ketiga-tiga mangsa dibawa ke kem tentera Filipina.
Pada 18 Julai lepas, lima nelayan rakyat Malaysia diculik kumpulan Abu Sayyaf di perairan Dent Haven, Lahad Datu, Sabah. – BERNAMA