KUANTAN – Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyeru ibu bapa agar melengkapi anak-anak dengan kemahiran asas renang sejak kecil untuk keselamatan diri dan mengelak daripada menjadi mangsa lemas.
Tunku Azizah bertitah walaupun ia bukan jaminan, namun sekurang-kurangnya mereka mempunyai pengetahuan asas yang mungkin dapat membantu anak-anak berkenaan menyelamatkan diri jika terjatuh ke sungai mahupun kolam.
“Kemahiran berenang sangat penting. Saya rasa sudah sampai masanya anak-anak kita dilengkapkan dengan ilmu berkenaan ditambah lagi sejak akhir-akhir ini terlalu banyak kes lemas yang berlaku melibatkan kanak-kanak,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian kepada Bernama ketika menziarahi jenazah mangsa lemas Wan Zulkairie Abdullah, 14, di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini malam tadi selain turut menyampaikan sumbangan kepada ibu mangsa, Norfadhilah Abu Bakar, 35.
Pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Beserah itu dilaporkan pergi ke Pantai Sungai Karang bersama 16 rakan selepas selesai menjalani aktiviti sekolah pada 5.45 petang.
Empat daripada mereka kemudiannya mandi di pantai berkenaan sebelum dilaporkan lemas kerana dihanyutkan arus deras namun dua daripadanya berjaya diselamatkan.
Mayat Wan Zulkairie kemudian ditemukan pada 6.45 petang kira-kira 200 meter dari kawasan kejadian oleh pasukan mencari dan menyelamat manakala rakannya Harmizan Mutalib, 16, masih hilang.
Tunku Azizah menzahirkan rasa dukacita dan berharap agar ibu bapa dapat mengawasi anak-anak untuk mengelak kejadian serupa berulang.
“Hendak salahkan ibu bapa sepenuhnya pun tidak boleh kerana mereka juga mempunyai tugasan lain yang perlu dilakukan. Namun saya berharap mereka yang mandi di kawasan pantai di negeri ini supaya lebih berhati-hati kerana keadaan pantainya yang berlekuk,” titah bagidna.
Baginda juga berharap agar pihak berkuasa dapat menempatkan anggota keselamatan di kawasan yang menjadi tumpuan pelancong selain meletakkan papan tanda amaran di kawasan yang tidak sesuai untuk aktiviti mandi-manda. – BERNAMA

