SHAH ALAM – Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (Perangsang Selangor) dengan kerjasama Kelab Kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Shah Alam hari ini mengumpulkan kira-kira 62 pain darah sempena Kempen Derma Darah di bangunan Perangsang Selangor di sini.
Pengurus Kanan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Perangsang Selangor Mohd Fauzi Mohd Ghazali berkata kempen yang julung kali diadakan itu bertujuan untuk menggalakkan kakitangan serta orang ramai menderma darah bagi membantu menambah simpanan tabung darah di Pusat Darah Negara.
“Setakat ini sambutan yang diterima melalui kempen derma darah yang diadakan sangat baik dan usaha murni ini akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang bagi membantu mereka yang memerlukan darah.
“Menerusi kempen ini, kami turut menggalakkan kakitangan kami untuk sama-sama menjalankan tanggungjawab sosial mereka selain mereka diberikan ‘point’ untuk KPI (petunjuk prestasi utama) masing-masing,” katanya kepada Bernama di sini.
Turut hadir, Pengerusi Kelab Kakitangan LHDN Shah Alam Azmi Mohamed.
Beliau berkata selain Kempen Derma Darah, Perangsang Selangor dan Kelab Kakitangan LHDN itu turut menganjurkan ceramah kesihatan berkaitan pemakanan bagi memberi kesedaran kepada kakitangan syarikat supaya mengamalkan tabiat pemakanan yang sihat dalam kehidupan masing-masing.
“Ceramah yang bertajuk ‘Pemakanan Zaman Moden dan Implikasinya Terhadap Kesihatan’ itu disampaikan oleh Pengerusi Persatuan Doktor-doktor Perubatan Islam Malaysia, Dr Hafiz Sulaiman.
“Syarikat sememangnya menerapkan aspek penjagaan kesihatan dalam kalangan kakitangan kami, bagi syarikat apabila kakitangan sihat, sekali gus mereka juga dapat menyempurnakan tugasan dengan baik,” katanya.
Terdahulu, seramai 240 peserta termasuk orang ramai menghadiri kempen dan ceramah kesihatan berkenaan. – BERNAMA