KUALA LUMPUR – Malaysia merupakan penerima utama manfaat daripada pelaksanaan dasar terbuka dan globalisiasi yang menyaksikan nisbah perdagangan kepada keluaran dalam negara kasar meningkat kepada 160 peratus.
Malah, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mustapa Mohamed, perdagangan terbuka Malaysia turut menjadi antara faktor yang membolehkan negara ini menarik pelaburan langsung asing, termasuk dari Arab Saudi dan China.
“Ini merupakan satu pengiktirafan terhadap dasar terbuka kita serta dari segi hubungan ekonomi,” katanya kepada pemberita di Forum Transformasi Global 2017 di sini, hari ini.
Mustapa adalah antara ahli panel forum yang bertajuk ‘Transformasi Malaysia:Melaksanakan Janji-Janji Kerajaan.’
Mengulas selanjutnya, beliau berkata sistem ekonomi terbuka itu membolehkan, banyak negara menjadi sebahagian daripada rantaian nilai dunia iaitu dari peringkat perusahaan kecil dan sederhana sehinggalah kepada syarikat awam yang tersenarai serta syarikat multinasional.
Usaha itu kemudiannya diterjemahkan dalam bentuk pengwujudan peluang pekerjaan misalnya sekurang-kurangnya sejuta pekerjaan dalam sektor pembuatan, katanya.
“Dari segi perjanjian perdagangan, kita telah memeterai 13 (perjanjian) yang menjadi satu lagi petunjuk terhadap (dasar) perdagangan terbuka. Malah kita kini dalam peringkat perbincangan dengan beberapa negara lain,” katanya.
Mustapa berkata, Malaysia menyokong usaha pelbagai hala yang membawa kepada penyatuan lebih 160 negara di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia.
“Syarikat-syarikat Malaysia turut menjalankan perniagaan di Asia, Eropah, Asia Barat dan banyak pelusuk lain dunia dalam pelbagai sektor termasuk pembinaan, minyak dan gas serta perbankan,” katanya. – BERNAMA