KUALA LUMPUR – Dendam pesilat negara, Mohd Zarish Hakim Shukor terhadap jaguh Indonesia, Hanifan Yudani Kusumah terbalas selepas berjaya meraih emas pada aksi final Kelas Putra C (55-60kg) pada Kejohanan Silat Asia Tenggara 2017 di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin, Gombak, hari ini.
Kemenangan Zarish, 19, itu menyaksikan beliau menebus kekecewaan sewaktu tewas kepada Hanifan pada aksi suku akhir penuh kontroversi di Kejuaraan Silat Dunia di Bali, Indonesia, Disember lepas.
Kejayaan itu lebih manis apabila Zarish diberikan kemenangan teknikal (TKO) selepas Hanifan yang juga merupakan juara dunia 2016 menarik diri pada pusingan ketiga selepas menyedari tidak mampu mengejar mata keseluruhan terkumpul Zarish.
“Kemenangan ini adalah satu kepuasan bagi saya. Memang saya nantikan perlawanan menentang dia (Hanifan) selepas insiden di Bali, namun perjuangan saya bukan hanya setakat mengalahkan dia.
“Masih banyak lagi latihan yang harus saya lakukan dan kelemahan yang perlu diperbaiki bagi meningkatkan prestasi saya terutama untuk Sukan SEA nanti,” katanya kepada pemberita selepas pertarungan itu.
Sementara itu, jaguh silat dunia, Mohd Al-Jufferi Jamari ternyata berada di kelas tersendiri apabila meraih emas Kelas Putra E (65-70kg).
Al-Jufferi mengesahkan kemenangan ke atas pesilat Thailand, Poomisak Ngankoh menerusi TKO selepas Poomisak gagal meneruskan perlawanan selepas tumbang di pusingan ketiga akibat disepak Al-Jufferi.
“Saya sangat gembira dengan kemenangan ini kerana amat penting bagi saya untuk melonjakkan semangat selain mengekalkan momentum saya menjelang Sukan SEA nanti.
Al-Jufferi dan Zarish akan berangkat ke Uzbekiztan bulan depan sebelum ke Belgium Mei ini bagi menyertai kejohanan jemputan sebagai persediaan terakhir menghadapi temasya Sukan SEA.
Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 akan berlangsung dari 19 hingga 31 Ogos ini. – BERNAMA