PUTRAJAYA – Malaysia dan Bangladesh bersedia untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala ke tahap lebih tinggi dengan perjanjian yang ditandatangani pada hari ini dalam empat bidang kerjasama.
Bidang kerjasama berkenaan ialah mengenai pengecualian visa untuk pegawai dan pemegang pasport diplomatik, dua memorandum persefahaman (MOU) dalam bidang kebudayaan dan pelancongan, serta protokol untuk memudahkan pengambilan pekerja Bangladesh di Sarawak.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina yang dalam rangka lawatan rasmi tiga hari di sini, menyaksikan majlis menandatangani perjanjian berkenaan di Bangunan Perdana Putra.
Menurut kenyataan bersama antara Malaysia dan Bangladesh, perjanjian, MoU dan protokol berkenaan akan mengeratkan lagi kedua-dua negara dan juga rakyat masing-masing dalam kerjasama yang sedia ada bagi manfaat bersama.
Menurut kenyataan itu, kedua-dua pemimpin mengulangi komitmen mereka untuk mengukuhkan lagi hubungan dalam semua sektor terutama dalam perdagangan dan perniagaan, pelaburan, pembangunan infrastruktur, tenaga kerja, kuasa dan tenaga, pembangunan sumber manusia dan pelancongan.
Ia berkata kedua-dua pemimpin menekankan keperluan usaha bersepadu bagi membina persekitaran keyakinan dan saling memahami serta mengukuhkan kestabilan serantau dan antarabangsa.
Terdahulu, Najib dan Sheikh Hasina mengadakan pertemuan empat mata diikuti dengan mesyuarat delegasi.
Sementara itu, Najib dalam sidang media berkata protokol untuk memudahkan pengambilan pekerja Bangladesh itu akan melihat penambahan 12,000 pekerja negara
berkenaan tiba di Sarawak pada awal tahun hadapan untuk menampung keperluan 62,000 pekerja yang diperlukan bagi sektor peladangan.
“Sekiranya mereka dapat menyesuaikan diri, maka boleh pertimbangkan penambahan pekerja-pekerja Bangladesh pada masa akan datang,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata pada masa ini, terdapat kira-kira 299,000 pekerja Bangladesh secara sah, khususnya dalam sektor pembinaan dan pembuatan di Malaysia.
Najib mengumumkan empat lagi projek akan dilaksanakan di Bangladesh iaitu loji jana kuasa arang batu 1,320 megawatt, pembinaan 8,400 rumah kos rendah dan sederhana, membekalkan koc penumpang bagi Bangladesh Railways dan pembinaan serta pembiayaan bagi tambatan.
“Oleh itu, seandainya ia menjadi kenyataan, keempat-empat projek akan melihatkan penglibatan Malaysia di Bangladesh akan lebih hebat dan signifikan,” katanya.
Sementara itu, Najib berkata Malaysia dan Bangladesh akan mengkaji cadangan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) bagi menggalakkan dan mempertingkatkan dagangan dua hala dan pelaburan kedua-dua belah pihak.
Perdana Menteri berkata nilai dagangan dua hala Malaysia-Bangladesh kini lebih berpihak kepada Malaysia dengan nilai eksport melebihi US$2 bilion sementara import US$136 juta.
“Sheikh Hasina mencadangkan agar mesyuarat suruhanjaya bersama (JCM) dapat diadakan pada tahun depan di Malaysia,” katanya.
Najib turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Bangladesh kerana turut terlibat dalam usaha pencarian pesawat MH370 di Teluk Benggala dan Sheikh Hasina menyampaikan rasa simpatinya kepada keluarga mangsa pesawat MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine. – BERNAMA