KOTA TINGGI – Seorang mekanik ditemui terbaring tidak bernyawa di Jalan Sawi 4, Taman Seri Lalang, dekat sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Rahmat Othman berkata Zalhakim Tabii, 29, ditemui tidak sedarkan diri dipercayai mengalami masalah jantung ketika sedang berjalan kaki menuju ke rumahnya selepas motosikal ditungganginya kehabisan minyak.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan terdapat seorang lelaki terbaring dalam keadaan terlentang di tepi jalan berkenaan pada pukul 4.45 petang.
Menurutnya, lelaki itu telah disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital.
“Siasatan awal mendapati Zalhakim telah meninggalkan motosikal jenis Yamaha di Jalan Lobak kerana kehabisan minyak dan berjalan kaki menuju ke rumahnya di Jalan Kangkung, Taman Sri Lalang.
Ketika sedang berjalan, tiba-tiba mangsa rebah dan tidak sedarkan diri. Siasatan menunjukkan kematian tidak melibatkan unsur jenayah. Mayat kemudiannya dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rahmat berkata hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan jantung bengkak dan injap jantung tersumbat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut. – BERNAMA

