KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini diberitahu sebuah pasukan siasatan telah ditubuhkan bagi menjalankan siasatan terhadap pusat pakar pergigian Imperial Dental Specialist Centre Sdn Bhd berhubung kematian menantu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa mendapatkan rawatan gigi di pusat itu pada 1 Jun 2016.
Ketua Penolong Pengarah di Pejabat Menteri Kesihatan Dr Mohamed Ahsan Mohamed Ismail, 37, berkata beliau menerima arahan itu selepas dimaklumkan oleh Ketua Unit Aduan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) Putrajaya, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Dr Siti Zufina Abd Samah.
Saksi yang ketika itu bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah CKAPS Putrajaya, berkata pasukan itu ditubuhkan pada 2 Jun 2016, bagi menyiasat kematian Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi (menantu Ahmad Zahid) ketika mendapatkan rawatan pergigian di pusat pakar pergigian tersebut.
“Pasukan siasatan itu dianggotai 13 orang iaitu lima anggota CKAPS dan tujuh anggota Unit Kawalan Amalan Perubatan Swasta (UKAPS) Kuala Lumpur serta dibantu seorang doktor pakar bedah pergigian dari Hospital Sungai Buloh,” katanya.
Saksi pendakwaan ketiga itu berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Jaizah Jaafar Sidek pada perbicaraan hari pertama kes pusat pakar pergigian tersebut yang didakwa terhadap sembilan pertuduhan berhubung kematian Syed Alman Zain.
Katanya, pasukan siasatan itu dibahagi kepada tiga kumpulan iaitu kumpulan A, B dan C, iaitu kumpulan A ditugaskan untuk menjalankan temu bual kakitangan pusat pakar pergigian berkenaan yang terlibat sewaktu kejadian dan memeriksa dokumen manakala kumpulan B memeriksa peralatan dan ubat rawatan kecemasan yang digunakan untuk merawat pesakit yang terlibat.
“Kumpulan C bertanggungjawab untuk memeriksa pelan lantai premis yang dikemukakan ketika permohonan lesen, kami bertolak ke premis yang dimaksudkan selepas selesai taklimat mengenai siasatan itu,” kata Dr Mohamed Ahsan yang mengetuai kumpulan A.
Saksi itu berkata ketika sampai di premis berkenaan beliau dan pasukannya diperkenalkan dengan Pengarah premis itu iaitu Datin Dr Wong Yen Ling (juga dikenali sebagai Datin Dr Alice Wong) sementara menunggu kedatangan seorang lagi pengarahnya iaitu Datuk Dr How Kim Chuan.
“Kami memulakan siasatan pada 1.35 tengah hari dan berakhir 4.30 petang, saya telah meminta beberapa dokumen penting berkaitan dengan pesakit seperti rekod perubatan pesakit dan borang kebenaran prosedur dan pemberian bius (anestesia) daripada kakitangan premis iaitu Dr Arlena Philip Lee,” katanya.
Pada 12 Ogos 2016, pusat pergigian itu yang diwakili pengarah syarikatnya Dr Wong mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan berhubung kematian Syed Alman Zain.
Antara pertuduhan itu ialah beliau selaku orang kena saman (OKS), didakwa sebagai pemegang lesen didapati telah gagal memastikan Dr Ting Teck Chin iaitu orang yang memberikan perkhidmatan anestesia terhadap Syed Alman Zain mempunyai kelayakan anestesiologi.
Klinik itu didakwa sebagai pemegang lesen telah gagal memastikan individu yang berkhidmat untuk menjalankan prosedur radiologi (orthopantomogram) dan perkhidmatan anestesia secara IV Sedation ke atas Syed Alman Zain mempunyai kelayakan berbuat demikian.
Dakwaan lain terhadap premis tersebut ialah gagal menyediakan langkah-langkah perlu bagi menyelamatkan nyawa pesakit dengan tidak menyediakan oksigen sebagai perkhidmatan jagaan kecemasan asas serta gagal mengemukakan kepada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) satu salinan semua rekod perubatan Syed Alman Zain semasa dia dipindah ke sana.
Klinik berkenaan turut didakwa telah gagal menyimpan dan menyenggara suatu daftar kakitangan, memastikan kehendak perlebelan ubat dipatuhi serta tidak mengambil langkah yang cukup untuk melindungi semua kakitangan profesional jagaan kesihatan dan persekitaran terhadap bahaya biologikal.
Kesemua kesalahan tersebut dilakukan di klinik yang terletak di Jalan Telawi, Bangsar Baru, Brickfields, di sini, antara 6 petang dan 9.05 malam, antara 26 Mei dan 2 Jun lalu.
Tujuh pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(4), 39(2), 40(4) dan 117(2)(b)(i) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM30,000 dan RM300,000, jika sabit kesalahan.
Dua lagi pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 49(7) dan 245(6) Peraturan-Peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Lain) 2006 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau tiga bulan penjara atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan hakim Harmi Thamri Mohamad @ Shaharuddin bersambung pada 7 Mac. Klinik itu diwakili peguam Sreekant Pillai. – BERNAMA

