KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia terus menjadikan United Kingdom (UK) sebagai destinasi pelaburan utama khususnya ke atas hartanah kediaman bagi penginapan pelajar.
Menurut CSI Properties (Cornerstone International) trend ini terus meningkat walaupun selepas keputusan pungutan suara Kesatuan Eropah.
CSI Properties merupakan perunding aset bagi pasaran hartanah luar negara di Malaysia.
“Sepanjang tahun 2016, kami melihat peningkatan ketara dalam bilangan rakyat Malaysia yang berminat untuk melabur dalam hartanah UK khususnya dalam aset penginapan pelajar.
“Jumlah jualan kami menokok sebanyak 60 peratus berbanding dengan tahun 2015, dan lebih separuh daripadanya membabitkan hartanah UK.
“Ini merupakan petanda bahawa pelabur Malaysia sedang mengambil kesempatan daripada kadar pertukaran matawang berikutan Brexit,” kata jurucakap CSI Properties Virata Thaivasigamony dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahan pula, lebih daripada 65 peratus jualan syarikat-syarikat hartanah UK membabitkan hartanah pelajar di UK.
Thaivasigamony berkata, syarikat perunding itu menikmati reputasi yang kukuh di kalangan rakyat Malaysia sebagai firma yang mempunyai portfolio yang paling luas dalam pelaburan hartanah pelajar di seluruh bandar-bandar UK, disebabkan oleh hubungannya yang kukuh dengan para pemaju UK yang terkemuka.
Pelanggannya terdiri daripada pembeli unit-unit individu pada harga £50,000(£1=RM5.5) sehingga kepada yang bernilai tinggi dan pelabur institusi yang membuat pembelian secara blok antara £2.0 juta hingga £10 juta.
“Penginapan pelajar UK telah terbukti sebagai kalis kemelesetan, serta mengatasi prestasi aset tradisional lain sewaktu kemelesetan ekonomi.
“Selepas Brexit, kami melihat ia kekal berdaya tahan disebabkan terus menerima permintaan oleh para penuntut pengajian tinggi di UK, selain itu, kelemahan pound juga menyebabkan ia terus menarik perhatian kepada pelajar luar negara,” katanya.
Katanya, sektor penginapan pelajar di UK telah berkembang sebanyak 37 peratus sejak dari 2014, daripada £30.9 bilion kepada £42.5 bilion, menjadikannya sebagai salah satu daripada kelas-kelas aset yang paling pantas berkembang dalam pasaran hartanah di negara tersebut.
Sementara itu, Perkhidmatan Kemasukan Kolej dan Universiti (UCAS) melaporkan bilangan pelajar untuk 2016/2017 dijangka melebihi tahun sebelumnya.
Pada permulaan tahun akademik 2016/17, hampir 522,000 pelajar telah berdaftar dalam kursus ijazah pertama di universiti-universiti UK, peningkatan sebanyak lebih daripada 7,000 berbanding 2015. – BERNAMA