MELAKA – Seorang anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, di sini, hari ini atas dua pertuduhan menipu seorang peniaga berjumlah RM2,000 berhubung tawaran membebaskan seorang tahanan narkotik, tahun lepas.
Tertuduh, Konstabel Ahmad Muzammir Zorkarnain, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Analia Kamaruddin.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memperdaya Abdul Hadi Mohd Hashim Goo, 29, dengan tawaran membebaskan seorang tahanan sehingga peniaga itu menyerahkan wang RM1,000.
Tertuduh, yang memakai baju-T hitam dan berseluar jeans didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Polis Bandar Hilir, di sini, pada 26 Dis, tahun lepas.
Mengikut pertuduhan kedua, bapa kepada dua anak itu turut didakwa melakukan kesalahan dan jumlah sama di kawasan sekitar Taman Seri Telok Mas di sini, pada 27 Dis, tahun lepas.
Kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa, ASP Nora Yaacob menawarkan wang jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.
Namun Ahmad Muzammir, yang diwakili peguam Ishak Mohd Kari, memohon mahkamah mengurangkan jaminan itu atas alasan anak guamnya perlu menanggung isteri dan anak yang masih bersekolah.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Mac ini untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

