SITIAWAN – Sebuah stor yang menyimpan bahan untuk dilupuskan di sebuah kilang sarung tangan getah di Lekir, di sini, musnah dalam kebakaran awal pagi ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan Mohd Zaki Zainol berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 5.45 pagi dan tiga jentera bersama 20 anggota serta pegawai selain sepasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan digegaskan ke lokasi.
“Kebakaran itu menyebabkan stor kelas B yang menyimpan getah untuk membuat sarung tangan yang akan dilupuskan, musnah hampir 80 peratus.
“Bagaimanapun tiada mangsa yang cedera dan operasi tamat kira-kira pukul 7.30 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi.
Mohd Zaki berkata punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – BERNAMA

