KOTA KINABALU – Wanita UMNO Sabah mampu memberi impak kepada rakyat ketika menyampaikan dasar kerajaan, kata Pengerusi Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Musa Aman.
Ketua Menteri Sabah itu berkata ini kerana kehadiran dan sikap gigih anggota pergerakan parti tersebut dirasai di peringkat akar umbi.
“Wanita UMNO, khususnya di Sabah, memang terkenal dengan sikap kerja keras dan daya perjuangan yang tinggi.
“Apa sahaja dilakukan oleh mereka mampu memberi impak kepada rakyat akar umbi kerana mereka ikhlas bekerja untuk parti dan untuk rakyat,” katanya pada majlis pelancaran Skuad Penerangan dan Media Wanita UMNO peringkat negeri di sini hari ini.
Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO.
Musa turut meminta skuad itu memberi penjelasan yang jelas dan beradab bagi menangkis maklumat palsu yang tersebar, khususnya dalam media sosial.
“Ingatkan rakyat mengenai apa yang kerajaan telah berikan untuk kesejahteraan mereka selama ini, walaupun di kala pembangkang menabur fitnah dan pembohongan untuk mempengaruhi pemikiran rakyat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Wanita UMNO Malaysia Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mengingatkan anggota pergerakan tersebut agar tidak leka dengan pengiktirafan yang diberi kepada mereka oleh kepimpinan UMNO.
“Pada Perhimpunan Agung UMNO yang lalu, Wanita UMNO telah diberikan tepukan gemuruh oleh para perwakilan termasuk Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Tetapi jangan leka dengan pengiktirafan itu. Sebaliknya, Wanita UMNO perlu buktikan kemampuan untuk terus menggalas amanah itu,” katanya.
Shahrizat juga meminta anggota pergerakan itu membuktikan golongan wanita layak untuk memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat seiring dengan permintaan lebih ramai kaum hawa dijadikan calon pada pilihan raya.
Selain itu, beliau turut mengingatkan anggota Wanita UMNO supaya mengekalkan integriti komunikasi antara kerajaan dan rakyat serta tegas dalam menangkis tohmahan yang dilemparkan terhadap parti. – BERNAMA