CYBERJAYA – Sejumlah 3,861 permohonan pas pelajar asing yang dibuat melalui Sistem Perkhidmatan Global Pendidikan Malaysia (EMGS) yang tertunggak sejak Jun tahun lepas, berjaya diselesaikan hari ini.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata masalah itu berjaya diselesaikan hanya dalam tempoh lapan hari selepas penubuhan Pasukan Petugas Khas pada 23 Jan lalu, berbanding 14 hari yang ditetapkan kerajaan.
Menurutnya, selain gangguan Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs) yang berlaku selama 12 hari bermula Jun lepas yang menyebabkan permohonan tidak dapat diproses dalam tempoh 14 hari sepertimana piagam pelanggan Jabatan Imigresen, keadaan itu juga berlaku disebabkan sikap institusi pendidikan itu sendiri.
“Permohonan sepatutnya dibuat enam minggu sebelum tarikh pendaftaran pelajar bersama butiran yang lengkap kerana ia akan memudahkan proses saringan oleh EMGS dan juga Imigresen sebelum pas dikeluarkan,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke pejabat EMGS di sini hari ini.
Isu tunggakan pas pelajar asing itu mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi pada 19 Jan mengarahkan ia diselesaikan segera dalam tempoh 14 hari sebagaimana termaktub dalam Piagam Pelanggan Jabatan Imigresen.
Dalam pada itu, Mustafar berkata pihaknya telah mengenal pasti beberapa institusi pendidikan tinggi swasta yang menggunakan Pusat Bahasa di institusi masing-masing sebagai ‘rangkaian’ mendapatkan pekerja asing atas nama pelajar.
Beliau berkata universiti terbabit menggunakan modus operandi menunjukkan gambar kelas pembelajaran dan beberapa elemen komersial lain bagi menarik pelajar asing mengikuti pembelajaran di situ, sekali gus mengaburi perhatian pihak berwajib.
“Perkara ini wujud…mereka tunjukkan gambar fasiliti bilik kuliah tetapi apabila pemeriksaan dibuat, kita dapati bukan sahaja pelajar tidak ada, malah kelas itu juga tidak wujud.
“Lebih teruk terdapat kes di mana pelajar yang diambil hanya datang semasa hari pendaftaran, kemudiannya hilang dan muncul semula setahun selepas itu bagi menerima sijil, diploma atau ijazah masing-masing,” katanya.
Mustafar berkata bagi ‘melumpuhkan rantaian kesalahan’ yang memungkinkan pelbagai jenayah berlaku di kemudian hari, pihaknya telah mengambil tindakan berdasarkan peruntukan di bawah bidang kuasa Imigresen kepada pihak terbabit.
“Bagi pencegahan lebih efisien, jabatan ini telah memberikan input dan cadangan seperti arahan penutupan dan pengusiran ke atas pelajar berkenaan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi selaku pihak yang bertanggungjawab,” katanya tanpa mendedahkan pihak yang telah diambil tindakan. – BERNAMA