KOTA BHARU – Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menyambut baik usaha yang dibuat oleh kerajaan untuk membanteras kegiatan militan di negara ini.
Beliau berkata, kegiatan kumpulan militan Islamic State (IS) perlu dibanteras kerana ideologinya bercanggah dengan pegangan agama Islam.
“Masyarakat kita perlu berhati-hati untuk melibatkan diri dalam aktiviti di luar negara kerana kegiatan kumpulan ini tidak mewakili ajaran agama Islam.
“Pihak keselamatan negara ini perlu ambil peranan untuk memantau bagi membendung kegiatan ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Wacana Majalah Pengasuh di sini, hari ini.
Semalam, kerajaan merayu sokongan rakyat terhadap usaha membendung ideologi kumpulan IS dan mencadangkan undang-undang baharu bagi membanteras penglibatan rakyat Malaysia dalam aktiviti militan dan pengganasan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika membentangkan Kertas Putih ‘Ke Arah Menangani Ancaman Kumpulan Islamic State (IS) yang kemudiannya diluluskan Dewan Rakyat semalam, berharap mendapat sokongan daripada semua lapisan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan fahaman sedemikian.
Najib berkata, Kertas Putih itu juga mencadangkan pemerkasaan undang-undang sedia ada seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dan Kanun Keseksaan bagi menangani ancaman pengganasan dan militan. – BERNAMA

