PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan akan melaksanakan kaedah pelepasan nyamuk mengandungi mikro-organisme ‘Wolbachia’ di kawasan yang dikenal pasti di Selangor tidak lama lagi untuk mengkaji impaknya mengurangkan kes denggi di negara ini.
Menterinya Datuk Seri Dr. S Subramaniam berkata, kajian projek perintis itu ialah untuk memahami tingkah laku spesies nyamuk penyebar penyakit dan akan meneruskan kajian itu di kawasan lain pada minggu-minggu akan datang.
Penggunaan Wolbachia mula diperkenalkan pada Januari tahun lepas oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dengan kerjasama Lancaster University, United Kingdom, kata beliau.
“Berdasarkan kajian itu, kita akan memutuskan sama ada ia berkesan untuk melaksanakannya di kawasan lain di negara ini,” kata beliau pada sidang media di kementeriannya di sini hari ini.
Tahun lepas, Bernama memetik Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah, mengenai penggunaan mikro-organisme ‘Wolbachia’ melalui suntikan ke dalam telur nyamuk aedes ‘aegypti’ sebagai kaedah untuk menghalang penularan virus denggi di kalangan manusia.
Beliau dipetik sebagai berkata ini kerana nyamuk aedes yang terhasil daripada telur yang disuntik itu tidak membawa virus denggi dan seterusnya menghalang penyebaran denggi.
“Mikro-organisme Wolbachia akan menghalang virus denggi daripada membiak dalam nyamuk,” Dr. Noor Hisham dipetik sebagai berkata.
Wolbachia ialah sejenis mikro-organisme yang hidup secara semulajadi dalam organ pembiakan serangga dan wujud dalam kira-kira 60 peratus serangga kecuali nyamuk aedes aegypti. – BERNAMA