LUNDU – Akhirnya secara rasmi pilihan raya kecil (PRK) Tanjong Datu bakal mempertemukan calon Barisan Nasional (BN) ditentang dua calon lain dari parti kecil tempatan kurang dikenali.
Puan Sri Jamilah Anu, balu bekas ketua menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem berdepan calon Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDS-B), Rapelson Richard Hamit dan calon dari Parti Reformasi Sarawak (Star), Johnny Aput.
Sebelum ini ramai menjangkakan, calon BN bakal menang tanpa bertanding di kerusi N.03 berkenaan ekoran calon yang dipertaruhkan pihak PBB kali ini pun cukup popular dalam kalangan penduduk di DUN Tanjong Datu sendiri.
Ia juga susulan keengganan tiga parti berasal dari semenanjung PKR, DAP dan PAN menyertai PRK itu, namun, tanggapan tersebut jauh meleset setelah tiga calon lain tampil untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil kali ini.
Malangnya disebabkan seorang calon bebas, Asbol Abdullah gagal mengemukakan surat pelepasan pengisytiharan muflisnya kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semasa proses penamaan, borang pencalonannya ditolak.
Ini sekali gus menyaksikan pertandingan tiga penjuru. Lucunya di sini, baik Rapelson, Johnny mahu pun Asbol, mereka gagal jawab persoalan, apa yang bakal diperjuangkan sepanjang 14 hari tempoh berkempen di PRK ini.
Paling curi tumpuan ialah kenyataan Asbol yang menzahirkan keyakinan untuk menang mudah tetapi kelakarnya apabila mendakwa, tujuan beliau menyertai PRK ini adalah kerana hobi selain perasaan minat untuk bertanding.
Untuk rekod sebelum ini, Asbol pernah bertanding di kawasan Miri, Matu dan beberapa lagi kerusi DUN dan Parlimen sekitar Sarawak namun kesemua penyertaannya dalam proses demokrasi itu menemui kegagalan.
Bagi calon Star pula, kegagalan memenangi sebarang kerusi sepanjang penyertaannya dalam pilihan raya, langsung tidak mematahkan semangat Johnny walaupun ada antaranya menyaksikan sering ‘kehilangan’ wang deposit.

Bagi beliau, penyertaannya hanya adalah untuk memberi lebih peluang kepada rakyat di kerusi tersebut bebas memilih calon yang mereka rasakan sesuai untuk memimpin dan bersuara dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
Johnny juga menegaskan, Star telah mencari calon tempatan untuk bertanding memandangkan beliau bukan anak jati di situ tetapi kesemua mereka menolak untuk dicalonkan pihak Star kerana cukup hormat bekas ADUNnya.
Justeru ujar Johny, selaku presiden seumur hidup Star, beliau mengambil tanggungjawab berat untuk bertanding walaupun sedar beliau memang pun akan tewas mudah dan sekali lagi hilang wang pertaruhan pilihan raya.
Bagi Rapelson, apa yang ingin diperjuangkan adalah hak tanah adat (NCR) yang sejak sekian lama membelenggu DUN sera percaya, perjuangannya untuk menuntut isu itu akan mampu meraih sokongan penduduk tempatan.
Lucukan, Rapelson gagal jawab kenapa bertanding atas tiket PBDS–B kali ini walhal sebelum ini, beliau adalah satu-satunya calon bukan Islam bertanding atas tiket PAN di Gedong pada Pilihan Raya Negeri ke-11, tahun lalu.
Adakah beliau malu dengan PAN atau sudah tidak yakin dengan PAN? Sebaliknya Rapelson lebih senang bercakap tentang latar belakang dirinya sebagai aktivis kemasyarakatan daripada berbicara tentang parti dinaunginya kini.
Jika dilihat daripada saingan yang diterima Jamilah, nyata sekali lawannya bolehlah dianggap sebagai calon berani kalah sekurang-kurangnya bukan pengecut seperti Pakatan Harapan diketuai DAP selain PKR, PAN dan PPBM.
Mereka tiada asas perjuangan kukuh selain hadir untuk ‘kacau’ undi. Namun jika diambil dari sudut demokrasi, pertandingan itu memperlihatkan betapa suburnya sistem demokrasi negara ini. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

