KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) mengesahkan kerajaan Arab Saudi telah mengembalikan semula kuota jemaah haji Malaysia kepada 27,900 orang untuk musim haji tahun ini.
TH dalam satu kenyataan media memberitahu, perkara ini telah dimaklumkan oleh Menteri Haji Dan Umrah Arab Saudi, Dr. Mohammad Saleh Bentan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada 25 Januari lalu.
“Bagi pihak kerajaan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi di atas pengembalian semula kuota haji berkenaan yang amat dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut TH, Mohammad Saleh turut memuji dan mengkagumi TH dalam pengurusan jemaah haji dari Malaysi yang sistematik, tersusun serta memberi penekanan kepada pembelajaran mengenai ibadat haji melalui kursus-kursus haji.
Malah, beliau memuji jemaah haji Malaysia yang sentiasa menumpukan perhatian kepada ibadat haji dan berdisplin tinggi ketika di Tanah Suci dan berharap jemaah dari negara lain mencontohi pengurusan haji oleh TH.
“Kos menunaikan haji Musim Haji 1438H/2017M telah meningkat kepada RM19,550 seorang berbanding RM18,890 tahun lalu.
“Walaupun kos meningkat setiap tahun, TH masih dapat mengekalkan bayaran haji RM9,980 seorang jemaah sejak tahun 2009. Subsidi Haji yang ditanggung TH dijangkakan berjumlah RM200 juta bagi musim haji pada tahun ini,” kata kenyataan itu.
Kerajaan Arab Saudi sebelum ini mengurangkan kuota jemaah haji bagi menambah baik infrastruktur di Masjidil Haram. – MYNEWSHUB.CC