SEORANG chef yang menyerang pelanggannya dengan serbuk cili menjelaskan dia bertindak sedemikian hanya kerana untuk mempertahankan dirinya daripada dibelasah pelanggan tersebut.
Menurut chef Kamrul Islam yang juga merupakan pemilik restoran Prince of Bengal di Wales, dia terpaksa menyemburkan serbuk cili ke arah David Evans selepas lelaki itu dilihat agresif hanya kerana makanan yang dihidangkan kepadanya susah untuk dikunyah dan ditelan.
Serbuk cili itu telah menyebabkan David ‘buta’ seketika dan terpaksa mendapatkan rawatan lanjut susulan serangan itu.

“Saya lari ke arah dapur namun dia (David) masih mengikut saya. Dia jadi sangat agresif.
“Saya yang ketakutan pada ketika mengambil segenggam serbuk cili untuk dijadikan sebagai alat pertahanan sekiranya dia apa-apakan saya.
“Bila keadaan menjadi terancam, saya lemparkan serbuk cili ke arahnya. Memang pedih tapi ia tidak menyakitkan sehingga boleh bawa kematian.
“Saya sudah menjalankan perniagaan ini selama 18 tahun dan ini merupakan pertama kali restoran ini mengalami insiden sebegini. Saya benar-benar sedih kerana ia telah merosakkan reputasi restoran ini,” katanya dipetik Metro UK.
Sementara itu isteri David, Michele berkata, chef itu terlebih dahulu menyerang mereka dengan kata-kata kesat selepas mereka membuat aduan kepada pelayan sebelum suaminya pergi ke arah pintu dapur untuk mendapatkan kata-kata maaf daripada chef tersebut namun tak semena-mena suaminya menerima padah dibaling dengan serbuk cili.

Susulan kejadian itu, pihak polis telah menahan Kamrul bagi membantu siasatan berhubung kesalahan serangan awam. – MYNEWSHUB.CC

