KUALA LUMPUR – Sebanyak 33 buah kenderaan mewah dipercayai kenderaan klon bernilai RM3 juta dirampas dalam Op Lejang Khas di sekitar ibu negara sejak 2015 hingga tahun lepas.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohd Sukri Kaman berkata antara kenderaan yang dirampas ialah jenis BMW, Mercedes Benz dan Mini Cooper.
Selain itu, katanya, polis turut menahan 33 individu berusia antara 25 hingga 40 tahun iaitu pemilik kereta klon berkenaan.
“Pembeli kereta ini tertarik dengan harga yang ditawarkan penjual kerana harga kereta mewah klon jauh lebih murah daripada harga pasaran.
Sindiket menjual kenderaan mewah ini pada harga antara RM20,000 hingga RM30,000 sebuah, mana ada orang jual kereta BMW dengan harga murah, mesti ada yang tidak kena dengan kenderaan ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini, hari ini.
Beliau berkata pihaknya masih mengesan sindiket yang bertanggungjawab menjual kenderaan klon ini kepada orang ramai.
“Sindiket ini aktif mengiklankan kenderaan klon di internet dan juga menerusi laman sosial,” katanya.
Mohd Sukri berkata sindiket terbabit dipercayai membawa masuk kenderaan klon daripada negara jiran sebelum kenderaan itu dilupuskan di negara tersebut, dan dijual dengan harga lebih murah di negara ini.
“Polis percaya ada antara kenderaan ini menggunakan nombor pendaftaran dan cukai jalan yang sah,” katanya.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang jika sabit kesalahan denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya. – BERNAMA

