KUALA TERENGGANU – Hari keempat banjir di Terengganu terus menunjukkan pemulihan positif dengan penurunan jumlah mangsa kepada 904 orang setakat 8 pagi ini berbanding 1,155 orang malam tadi.
Menurut Infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat, sebanyak 23 pusat pemindahan masih beroperasi dan menempatkan 247 keluarga di lima daerah.
Di Besut, keadaan bertambah baik apabila jumlah mangsa terus menurun kepada 155 orang (40 keluarga) berbanding 344 orang (84 keluarga) malam tadi. Ketika ini, empat pusat pemindahan masih dibuka di daerah itu.
Penurunan jumlah mangsa juga berlaku di Setiu yang kini merekodkan hanya 153 orang (32 keluarga) berbanding 179 orang (41 keluarga) malam tadi, dan sepertimana di Besut, empat pusat pemindahan juga masih beroperasi di Setiu.
Keadaan banjir di Hulu Terengganu juga terus menunjukkan pemulihan positif dengan penurunan jumlah mangsa kepada 410 orang (136 keluarga) berbanding 541 orang (190 keluarga) sebelum ini.
Kesemua mereka kini berada di lapan pusat pemindahan.
Bagaimanapun, berlaku sedikit peningkatan jumlah mangsa di Kemaman iaitu 184 orang (38 keluarga) berbanding 89 orang (17 keluarga) susulan pembukaan tiga pusat pemindahan baharu menjadikan jumlah keseluruhan yang beroperasi enam pusat.
Di Dungun, situasi masih tidak berubah dengan hanya satu pusat pemindahan dibuka untuk dua sekeluarga di Sekolah Kebangsaan Minda Talong.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan hanya sebatang sungai masih melepasi paras bahaya iaitu Sungai Dungun di Kuala Jengai.
Walaupun bacaan yang direkodkan pukul 8 pagi ini ialah 21.19 meter, namun ia menunjukkan penurunan berbanding 22.47 meter malam tadi (paras bahaya 21.00 meter). – BERNAMA

