TAWAU – Tiga lelaki ditahan dalam serbuan berasingan di Kampung Titingan awal pagi tadi selepas disyaki terlibat dalam kegiatan ragut di tepi laut Jalan Persisiran di sini pada Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus berkata tiga sekawan yang menganggur berusia lingkungan 19 hingga 28 tahun itu tidak memiliki dokumen keterangan diri ketika ditahan pada kira-kira pukul 5.30 pagi di sekitar kampung berkenaan.
“Salah seorang suspek memiliki rekod jenayah lampau termasuk pernah dipenjarakan 11 kali di atas pelbagai kesalahan manakala seorang lagi yang ditahan adalah orang yang meminjamkan motosikal kepada dua suspek ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Fadil, kesemua suspek akan disiasat lanjut sama ada terlibat dalam kegiatan jenayah ragut lain.
Pada 4 Jan lalu, seorang wanita berusia 24 tahun mengadu beg tangan dan telefon bimbit teman lelakinya telah diragut di Jalan Persisiran di sini, oleh dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal kira-kira 2 petang dan ekoran itu mangsa mengalami kerugian dianggarkan RM1,000.
Sementara itu, polis tengah malam tadi turut menahan seorang lelaki berusia 20 tahun dan tidak bekerja di sebuah rumah di Kampung Tawau Lama berhubung kes curi motosikal kira-kira setahun lalu.
Dalam kejadiaan pukul 12.05 tengah malam itu polis yang menyerbu lelaki berkenaan turut memeriksa halaman rumahnya dan menjumpai motosikal jenis Yamaha LC warna hitam biru yang bernombor pendaftaran palsu.
Fadil berkata suspek yang ditahan, bagaimanapun tidak mengaku terlibat dengan kes curi motosikal dan polis akan menjalankan siasatan dan soal siasat lanjut.
Pada Mei 2015, seorang lelaki berumur 24 tahun mengadu motosikalnya berwarna hitam dan biru dicuri kira-kira pukul 1.30 pagi di Jalan Batu 3, di sini. – BERNAMA
