KEMELUT ‘perang mulut’ antara tokoh pembangkang, Tun Mahathir Mohamad dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengenai isu Forest City nampaknya meleret jauh pula!
Kali ini melibatkan segelintir netizen antikerajaan apabila meluahkan rasa kecewa konon terkejut apabila mendakwa peniaga di Forest City menjalankan perniagaan dengan menggunakan mata wang negara China iaitu yuan.
Lucunya, menerusi perkongsian Twitter oleh seorang pengguna bernama Zata, dia memuat naik gambar sebuah kedai yang menjual pelbagai jenis kuih di pusat peranginan yang terletak di Gelang Patah dekat Johor Bahru.
Itupun Zata mendakwa gambar tersebut diambil September lalu dan kuih dijual dengan mata wang yuan sambil mendakwa kononnya ia berlaku di Forest City yang menjadi bahan momokan Mahathir mengutuk Sultan Johor.
“Mana lagi di Malaysia anda boleh membeli kuih menggunakan yuan!” tulis Zata. Untuk rekod, projek Forest City merupakan pulau buatan manusia berkeluasan 1,386 hektar yang terletak di perairan dekat sempadan Singapura.
Manakala semua maklum, Gelang Patah merupakan kawasan Parlimen diwakili tokoh ‘otai’ DAP, Lim Kit Siang yang sudah berbaik-baik dengan musuh ketatnya, Mahathir bagi ‘guling’ kerajaan Barisan Nasional diterajui UMNO.
Isu Forest City konon dikuasai China sengaja dimainkan oleh media antarabangsa yang ada kepentingan pelaburan dengan Singapura kerana bimbang ia akan menyebabkan republik tersebut gagal bersaing dari segi ekonomi.
Gambar itu dimuat naik pengguna lain yang awalnya meluahkan rasa tidak senang melihat papan tanda “Jangan pijak rumput” dalam bahasa Cina, seraya mendakwa konon Johor Bahru sedang ‘dijual’ kepada pelabur dari China.
Baca: Adakah Tun M Kini Jadi ‘Balaci’ Singapura?
Juga: Jawapan Balas Mahathir Kasar Dan Sinikal

“I hate that JB is being sold off to mainland China investors. How ridiculous it is that you need Chinese signboards for ‘don’t step on grass’,” tulis kicauan Iman Tanita Al Ghul menerusi akaun Twitter miliknya.
Perkongsian berbaur fitnah itu jelas menimbulkan rasa tidak senang rakyat khasnya penyokong pembangkang dan menjadi perbualan hangat menerusi media sosial bagi memburukkan imej Sultan Johor dan Barisan Nasional.
Kelakarnya ada netizen antikerajaan yang anggap seolah-olah sudah ramai warga China berada di Forest City dan membanjiri pulau tebus laut itu sehingga peniaga bebas menjalankan urusan perniagaan dalam mata wang yuan.
Ironi, netizen terbabit berpendapat jika kuih tersebut dijual dalam mata wang dolar Singapura, ia mungkin kurang dipertikaikan kerana Johor terletak begitu hampir dengan negara Kota Singa yang diperintah ‘pengasas’ DAP itu.
Timbul persoalan kenapa mereka begitu ‘bangga sangat’ dengan dolar negara jiran itu yang lebih mahal kadarnya berbanding yuan tetapi pada masa sama tidak pula bercakap mengenai kadar pertukaran dengan rupiah Indonesia!
Bagaimanapun, perkongsian yang menjadi tular baru-baru ini tidak dapat disahkan sama ada ia benar-benar berlaku ataupun hanya sebahagian daripada propaganda penyokong pembangkang tersebut. – MYNEWSHUB.CC

