ORANG awam yang melalui Jalan Kuching menghala ke pusat bandar pagi ini sudah tentu mengeluh dengan keadaan kesesakan lalu lintas yang luar biasa.
Kesesakan tersebut menyebabkan banyak kenderaan terkandas dari jam 7 pagi hingga 11 pagi tadi serta membabitkan jalan-jalan lain yang menghubungkan ke Jalan Kuching, Kuala Lumpur.

Punca kesesakan lalu lintas berkenaan disebabkan sebuah kenderaan jenis Proton Satria yang ditemui dalam Sungai Gombak di Jalan Kuching, berhampiran pusat membeli belah Sogo, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Regina Anak Antony, 31 dan rakannya Rahmah Ahad, 43, dalam perjalanan ke Balakong dari rumah mereka di Setapak.
Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain berkata, apabila tiba di Jalam Kuching berhampiran belakang Wisma Bumi Raya, kereta yang dipandu mangsa hilang kawalan dan mengelungsur ke kiri jalan sebelum melanggar tebing tembok sungai menyebabkan mangsa terjatuh ke dalaman setinggi 12 kaki ke tebing sungai.

Menurutnya, Rahmah yang duduk di bahagian penumpang berjaya keluar dari kereta dan menarik rakannya yang pengsan ke darat.
“Mangsa meminta bantuan dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan.
“Kedua-dua mangsa yang masing-masing berasal dari Sarawak dan Sabah itu cedera di bahagian muka dan beberapa bahagian badan,” katanya dalam satu kenyataan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MYNEWSHUB.CC

