IPOH – Perak mencatat rekod apabila memperoleh hasil negeri sebanyak RM1.011 bilion bagi tempoh kewangan berakhir 2016.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, kerajaan negeri juga berjaya mencatat lebihan bajet sebanyak RM4 juta, sekaligus mengekalkan rekod lebihan kerajaan negeri untuk tempoh tujuh tahun berturut-turut.
“Perak tidak pernah mencapai hasil pendapatan lebih dari RM1 bilion kerana kebiasaanya kita memperoleh sekitar RM600 juta hingga RM700 juta.
“Pencapaian ini merupakan hasil kerjasama daripada semua pihak.
“Walaupun keadaan ekonomi yang mencabar, kerajaan negeri sentiasa bekerja keras untuk menambah pendapatan negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Bicara Eksekutif dan Perutusan Tahun Baharu 2017 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu, Zambry berkata pada 2015, Perak mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.9 peratus dan muncul negeri ketiga tertinggi selepas Wilayah Persekutuan Labuan (6.9 peratus) dan Sabah (6.1 peratus).
“Tahun 2015 turut menyaksikan Perak mencapai kadar pertumbuhan tahunan kompaun 6.0 peratus iaitu lebih tinggi daripada Pulau Pinang (5.7 peratus), Johor (5.9 peratus) dan Melaka (5.6 peratus),” katanya.
Dalam pada itu, Zambry mengingkatkan jabatan-jabatan di bawah kerajaan negeri supaya menjalinkan hubungan lebih akrab dengan jabatan di peringkat Persekutuan.
Beliau juga mahu melihat pelaburan di Perak meningkat dengan kutipan hasil dapat digerakkan oleh semua jabatan berkaitan.
“Sebagai contoh, kutipan hasil Pejabat Daerah dan Tanah pada tahun lalu melebihi 90 peratus. Usaha itu bukanlah sesuatu yang mudah namun (semua) perlu bekerja keras untuk mencapainya,” katanya. – BERNAMA

