MIRI – Lebih 100 pekerja daripada jabatan dan agensi kerajaan negeri bergegas keluar dari pejabat masing-masing di Bangunan Limbang Plaza, di Limbang pukul 2.30 petang hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Limbang Tawang Lingem berkata, panggilan telah diterima pada pukul 2.31 petang tadi apabila pekerja-pekerja di dalam bangunan sembilan tingkat itu merasai ada gegaran.
“Berdasarkan maklumat semasa kejadian pekerja merasa terhoyong-hayang dan selepas itu atas faktor keselamatan kesemua diarah keluar dan gegaran kuat amat dirasai pada tingkat tujuh dan lapan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, lapan anggota termasuk beliau sendiri membuat pemeriksaan keselamatan untuk memastikan tiada keretakan atau kebocoran berlaku dan bangunan tersebut disahkan boleh dimasuki semula pada pukul 3.05 petang.
Bangunan Limbang Plaza menempatkan pejabat Jabatan Tanah dan Survei, Jabatan Kerja Raya, pejabat Daerah dan Residen, Perbendaharaan, Lembaga Sungai-sungai Sarawak, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Daerah Limbang dan Lembaga Sumber Asli dan Persekitaran Sarawak (NREB).
Jabatan Meteorologi Malaysia melaporkan gempa bumi berukuran 7.3 pada Skala Richter melanda Laut Sulawesi, 466km timur laut Semporna, Sabah pada pukul 2.13 petang tadi. – BERNAMA

